Seminar Reformasi Pemikiran di Bandung-Pengekalan Ahli Sunah di Dunia Melayu 19 Okb 2008

November 5, 2008

 

SEMINAR BANDUNG KERANGKA TEOLOGIS DAN KEROHANIAN AHLIS SUNAH 19 OKB 2008 HOTEL SAVOY HOMANN

 

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

KERANGKA SPIRITUAL DAN PEMBENTUKAN AKHLAK:

PANDUAN AHLISSUNNAH WALJAMA’AH

OLEH:

MUHAMMAD ’UTHMAN EL-MUHAMMADY

Tujuan kertas ini ialah untuk memberi gambaran tentang panduan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam bidang kehidupan kerohanian dan juga pembentukan akhlak yang merupakan paksi dalam kehidupan beragama umat ini.Ini yang merupakan hakikat hidupnya di dunia dan alam abadinya. Kerangka ini melibatkan akidahnya, panduan akhlaknya, hidup rohaniahnya, serta kerangka hukum Syariat yang menjadi panduan menyeluruhnya.Termasuk ke dalam pembicaraan ini ialah beberapa gambaran tentang insan, hubungannya dengan Tuhannya dan juga alamnya, samaada alam dunianya dan juga alam abadinya. Mungkin akan tersentuh juga sedikit pernbincangan tentang realiti pemikiran modern yang terpaksa dihadapi oleh Muslimin dalam menjayakan hidup rohaniah dan akhlaknya itu

Hidup Kerohanian dan Akhlak Paksi Dalam Agama:

Hakikat hidup kerohanian dan akhlak berupa paksi dalam hidup beragama jelas sekali kedudukannya dari panduan Qur’an sendiri yang menyatakan realiti itu dalam doa Nabi Ibrahim a.s. yang membawa kepada lahirnya umat ini, (ربنا وابعث فيهم رسولا منهم يتلو عليهم أياتك ويعلمهم الكتاب والحكمة ويزكيهم انك أنت العزيز الحكيم) (yang bermaksud): Wahai Tuhan! Utuskanlah di kalangan mereka seorang rasul yang akan membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkian kepada mereka Kitab dan Hikmah kebijaksanaan (Sunnah), dan yang menyucikan mereka (dari kesyirikan dan kekejian akhlak) , sesungguhnya Engkau Maha Tinggi dalam Kekuasaan lagi Maha Bijaksana”. ’Yuzakkihim’ atau ’membersihkan mereka’ itu memberi pengertian yang sedalam-dalamnya berkenaan dengan kedudukan hidup kerohanian dan akhlak. Puji-pujian Allah taalah terhadap peribadi nabi Muhammad salla’Llahu ’alaihi wa sallam juga jelas menunjukkan bagaimana paling pentingnya kedudukan hidup kerohanian dan akhlak ini.Ayatnya (وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون) bermaksud : Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu’ Juga hakikat ini jelas daripada ayat (الذى خلق سبع سموات ومن الارض مثلهن يتنزل الامر بينهن لتعلموا ان الله على كل شيء قدير وان الله على كل شيء علما )yang bermaksud: ’Dialah Yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga, turun Perintah antara itu semua supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah Maha meliputi segalanya dengan IlmuNya”.Kemudiannya hadith-hadith tentang Isra’ Mi’raj sebagaimana yang dicatitkan oleh Tafsir ibn Kathir dalam hubungan dengan huraian tentang maksud ayat pertama Surah Bani Isra’il menunjukkan dengan cara yang paling gemilang sekali bahawa hidup kerohanian dan akhlak merupakan perkara yang pokok dalam agama ini, dan ini hakikat yangt paling penting dalam ajaran Ahlissunnah waljamaah.

Dalam tafsir Qur’an dalam kalangan Ahlissunnah, huraian berkenaan dengan ’wa yuzakkihim’ –dan ia menyucikan mereka – ini dhuraikan dengan baiknya oleh al-Baidawi termasuk hasyiahnya oleh Syeikh Zadeh]

Dalam Surah al-Baqarah ayat 30 dinyataan bahawa penciptaan Adam sebagai khalifah itu diikuti dengan ayat (وعلم أدم الاسماء كلها)yang bermaksud :Dan Allah mengajarkan kepada Adam segala nama”

Dalam hasyiah Zadeh pada Baidhawi, berkenaan dengan Adam dijadikan khalifah itu, katanya : ‘Maksudnya ialah Adam alaihissalam itu khalifah, iaitu khalifah Allah pada bumi …dalam mengimarahkan bumi dan menjalankan siasah umat manusia serta menyempurnakan sifat-sifat jiwa mereka (ertinya membersihkan jiwa dan diri mereka daripada sifat-sifat yang jahat) (عمارة الارض وسياسة الناس وتكميل نفوسهم وتنفيذ أمره فيهم )

Dan disebutkan oleh al-Baidhawi itu bukan kerana Allah memerlukan kepada yang demikianm itu, tetapi itu adalah untuk manusia.

Syeikh Zadeh dalam komentarnya menyatakan : Seolah-olahnya Allah berfirman kepada para malaikat itu :Wahai para malaikat sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi khalifah yang akan berada di kalangan mereka menjalankan hukumKu antara ahli bumi dan menzahirkan HukumKu ; dan firman Allah yang menguatkan erti ini ialah firmanNya kepada Daud as (bermaksud): Sesungguhnya Kami jadikan engkau wahai Daud sebagai khalifah di bumi, oleh itu putuskanlah hukum antara manusia dengan sebenarnya,’ Ia men jadikan Daud as sebagai khalifahNya bagi menghukumkan penduduk bumi dengan hukum yang hak.

Tentang ayat 31 Surah al-Baqarah , berkenaan dengan Adam as diajarkan semua nama-nama oleh Tuhan, kata Baidhawi : ertinya bahawa Allah menjadikan Adam as itu daripada bahagian-bahagian yang berlainan dirinya itu dan kekuatan-kekuatan yang berbeza-beza yang menjadikan beliau itu tersedia untuk mencapai pelbagai jenis (pengetahuan yang boleh) dicapai terdiri daripada perkara-perkara jenis yang boleh ditanggapi oleh akal (al-maqulat), pancaindera (al-mahsusat), melalui daya khayal (yang murni) (al-mutakhayyalat) , melalui sangkaan waham (yang murni ) (al-mauhumat) dan Ia mengilhamkan kepada Adam itu pengetahuan tentang zat-zat segala perkara (‘all substances’) dan keistimewaan-keistimewaannya, (selain daripada) nama-namanya, dan dasar-dasar semua ilmu pengetahuan dan kaedah atau aturan-aturan pertukangan dan ketrampilan serta cara-cara alatnya (menjalankan tugasnya) (من المعقولات والمحسوسات والمتخيلات والموهومات والهمه معرفة الاشياء وخواصها واسماوءها وأصول العلوم وقوانين الصناعات وكيفية الاتها )

Tentang hakikat tersiap sedianya insan dengan pelbagai ciri dan sifat itu serta kemampuan dan potensinya kata Syeikh Zadeh :’Maka terhasillah bagi manusia itu dengan kadar pelbagai susunan badannya dengan unsur-unsurnya perbuatan-perbuatan yang berlain-lainan (jenisnya) antaranya, dengan perbuatan-perbuatan yang berlainan itu seperti menulis, menjahit, berniaga, dan lain-lain kemahiran (al-sina’at) , dan tiap-tiap satu daripadanya itu tidak ada pada malaikat, kerana mereka tidak ada tubuh badan yang tersusun daripada pelbagai juzuk yang berlainan yang timbul daripadanya kekuatan-kekuatan jasmani yang berlain-lainan , berserta dengan indera-indera lahiriah dan indera-indera batin; dengan itu tidak ada pada malaikat itu pencapaian-pencapaian yang berlain-lainan itu. Maka perkara yang terkesan dengan pancaindera itu tidak boleh dicapai melainkan khususnya oleh makhluk yang mempunyai hajat dan kerja-kerja hidup badaniah ; dan itu tidak dilakukan melainkan oleh makhluk yang tersusun kejadiannya seperti susunan insan terdiri padanya daripada kekuatan-kekuatan badaniah, yang berlainan, dan tidak layak memegang martabat khilafah di bumi itu melainkan makhluk yang terhimpun secara menyeluruh pada dirinya semua kekuatan-kekuatan insaniah dan kemalaikatan .

Tentang potensi-potensi yang ada pada manusia yang ajaib itu, Syeikh Zadeh menghuraikannya lagi : Potensi-potensi itu (untuk mencapai pelbagai ilmu teori atau amali serta ketrampilan itu) tidaklah tinggal sebagai potensi sahaja, bahkan kesempurnaannya terzahir jelas menjadi kenyataan (dalam kehidupan manusia di dunia ) bila Adam diilhamkan dengan pengetahuan tentang zat segala sesuatu, yakni hakikat-hakikatnya (rupanya hakikat-hakikat boleh dicapai mengikut pandangan Syeikh Zadeh) yang tiap-tiap satu daripadanya itu berlainan daripada yang lain daripadanya, serta pengetahuan tentang apa-apa yang khusus tentang sifat-sifat sesuatu dan faedah-faedah serta bahaya-bahayanya, dengan pengetahuan tentang nama-namanya, yakni nama-nama yang diguna untuk menyebutnya, serta dasar-dasar cawangan-cawangan pengetahuan (معرفة أصول العلوم) yakni kaedah-kaedahnya yang am (atau universal), dan kaedah-kaedah pertukangan-pertukangan atau kemahiran-kemahiran , yakni perkara-perkara yang bersifat sarwajagat (الامور الكلية) yang diperlukan dalam kemahiran-kemahiran (termasuk teknologi) dan kepandaian.

Yang dikatakan kerangka hidup kerohanian itu ialah ajaran dan amalan yang menyentuh kehidupan manusia dalam menjayakan dan menjaga identiti rohaniahnya yang menjadi paksi bagi dirinya.Kalau kita merujuk kepada psikologi rohaniah sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali rd dalam ’Ihya’nya, kita dapati ada empat istilah yang digunakan bagi melafazkan identiti kerohanian mmanusia. Istilah-istilah itu ialah al-qalb, al-nafs, al-’aql, dan al-ruh. Pada Imam al-Ghazali rd inilah yang merupakan zat insaniah itu sebenarnya; badan itu adalah sebagai ’sarang’ sementara bagi rohnya itu sewaktu berada dalam alam dunia ini.

Misalnya yang dikatakan ’qalb’ itu atau hati ialah daging yang berupa seperti buah sanaubar yang berada di kiri dada manusia; bagaimanapun yang ditumpukan dalam hati dalam erti yang dimaksudkan ini ialah hati bangsa rohaniah yang berkait dengan hati yang b erfisat fisikal itu; beliau menyatakan bahawa inilah yang dimaksudkan oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallah ; Sesungguhnya dalam dada anak Adam itu ada segumpal daging, kalau ia sejahtera maka sejahteralah seluruh diri orang yang berkenaan dan kalau ia rosak maka rosaklah seluruh diri orang yang berkenaan itu; ia adalah hati (ala wa hiya al-qalb’).

Yang dimaksudkan al-nafs itu ialah jiwa manusia, yang katanya yang menyebab ia ada perasaan dan keinginan; tetapi katanya yang ditumpukan dalam perbincangan yang dikehendaki ini ialah sesuatu yang bersifat kerohanian yang ada pada ’nafs’ atau jiwa itu; inilah segi yang diambil kira dengan sehabis-habis seriusnya dalam perbincangan tentang tang gungjawab manusia dalam agama.Aspek kerohanian yang berkenaan dengan al-nafs ini ialah zat bukan benda yang halus dan yang dinisbahkan kepada Tuhan yang ada pada manusia (latifah rabbaniyyah au ruhaniyyah); inilah paksi manusia yang sebenarnya; inilah yang dimaksudkan dalam Qur’an dalam ayat (قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها)(yang bermaksud): Berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorkannya”;

Istilah ’al-’aql’ memaksudkan, secara ringkasnya keupayaan batin yang ada pada diri manusia yang menyebabkan ia memahami ilmu pengetahuan dan makna-makna serta erti-erti dalam perkataan dari percakapan manusia ataupun apa-apa yang disebutkan dalam nas-nas agama yang datang dari Tuhan Pencipta alam.

Satu lagi ialah istilah ’al-ruh’ yang merujuk kepada sesuatu yang ada pada manusia yang menyebabkan ia hidup, dan itu berkait dengan darah dan perjalanannya; selain dari itu Imam al-Ghazali rd menyatakan bahawa yang dimaksudkan dalam istilah roh yang dikehendaki ini ialah zat yang bukan kebendaan dalam diri manusia itu yang menyebabkan ia boleh mengalami perhampiran dengan Tuhan dan bermesra denganNya.

Akhirnya, pada beliau ke –empat-empat istilah itu walaupun dalam segi-segi tertentu boleh memberi erti yang berlain-lainan, pada hakikatnya dari segi yang dikehendaki di sini ia merujuk kepada entiti yang sama sahaja; ia adalah zat bukan benda atau zat kerohanian yang halus yang dinisbahkan kepada Tuhan; dialah yang merupakan ’aku’ yang sebenarnya dalam manusia. Inilah zat kerohanian, yang dinisbahkan kepada Tuhan yang menjadi tempat tuju kepada percakapan-percakapan atau perinbtah-perintah dalam agama, sama ada wahyu Tuhan ataupun kenyataan dari Nabi salla’Llahu ’alaihi wa sallam.

Paksi kerohanian manusia ini adalah zat yang datang dari alam Perintah Tuhan, (’alam al-amr), bukannya dari alam ciptaan (alam al-khalq) yang ada benda-benda ciptaan Tuhan padanya.Dari segi ontologisnya alam amr itu alam yang ’rapat’ dengan Tuhan, alam khalq itu ’jauh’ dariNya. Badan manusia datang dari alam al-khalq, rohaninya datang dari alam al-amr.Di dunia ini kedua-dua unsur itu tergabung dalam diri manusia untuk menjayakan hidupnya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya.

Maka hidup kerohanian manusia ialah hidup yang menjayakan dan menyuburkan dirinya yang rohaniah ini, disertakan dengan perlaksanaan hidup jasmaninya, yang menjadi kerangka untuk hidup rohaniah itu; itulah yang menentukan harga diri, kejayaan hakiki, dan erti hidupnya yang hakiki dalam hubungan dengan dirinya sendiri, dengan makhluk lain dan, di atas sekeliannya, hubungannya dengan Tuhannya. Kegemilangan dan kebahagiaan hidupnya yang hakiki terletak pada kejayaan hiodupnya yang sedemikian.

Panduan Dalam Aqidahnya:

Hidup kerohanian dalam erti yang demikikan sudah tentu berlaku dalam kerangka akidah yang sohih sebagaimana yang ada dalam Ahlissunnah wal-jamaah. Sebab itu ditekankan perkara-perkara pokok dalam rukun iman, sebagaimana yng dijelaskan dalam permulaan Surah al-Baqarah dan ayat-ayat yang seterusnya yang membahagi-bahagikan manusia ke dalam kategori-kategori mereka yang beriman, yang kafir dan yang munafik; mereka yang selamat dengan tugas-tugas rohaniahnya dan akhlak serta hukumnya ialah orang-orang yang beriman dan beramal solih dan bertaqwa.Ini jelas dari ayat-ayat (ذلك الكتاب, لا ريب فيه , هدى للمتقين, الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقنهم ينفقون, والذين يؤمنون بما أنزل اليك وماأنزل من قبلك وبالاخرة هم يوقنون, أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون) yang bermaksud:

”Ini Kitab (Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya; bimbingan bagi mereka yang bertaqwa (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang, dan membelanjakan {pada Jalan Allah] apa yang Kami kurniakan sebagai rezeki kepada mereka, dan mereka beriman kepada apa yang diturunkan kepada Engkau wahai Muhammad dan apa yang diturunkan kepada mereka sebelum engkau, dan mereka yakin tentang hari akhirat.Mereka itulah orang-orang yang berada dalam hidayat dan mereka itulah orang-orang yang berjaya .”

Hakikat kehidupan rohaniah dan akhlak mesti berasaskan akidah yang sahih ini dinyatakan lagi dalam ayat yang bermaksud: ”Bukanlah mengadap wajahmumu ke timur dan ke barat itu kebaktian [sendirinya], akan tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada Allah, hari kemudikan, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberi harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan bantuan), dan orang-orang yang meminta sedekah, dan(memerdekakan) hamba-sahaya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya bila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan , penderitaan dan dalam peperangan,.Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.

Mereka adalah orang-orang yang mempunyai keimanan yang sohih dalam Ahlissunnah, sebagaimana yang jelas dari hadith-hadith tentang perpecahan umat kepada 73 itu, dan pernyataan ijma’ tentang ini dalam ’Maqalat’ oleh al-Asy’ari rd, ’Aqidah Tahawiyyah’ oleh al-Tahawi, ’Al-Fiqhul-Akbar’ oleh Imam Abu Hanifah, ’Al-Tamhid’ oleh al-Baqillani, ’al-Farq Bainal-Firaq’ oleh al-Baghdadi, ’al-Milal wa al-Nihal’ oleh Syahrastani, ’al-Iqtisad fil-I’tiqad’ oleh al-Ghazali, demikianlah sampai kemudiannya ke zaman Syah Waliyullah al-Dihlawi, sebagaimana yang ternyata dalam ’al-Khair al-Kathir’nya antara lainnya, dan ’al-Aqa’id’ oleh Hasan al-Banna (kalau hendak disebutkan bentuk popularnya). Ini semua menunjukkan kemestian akidah Ahlissunnah sebagai kerangka untuk kehidupan rohaniah dan akhlak yang diakui.Hidup rohaniah yang berkembang dalam rangka akidah inilah yang berlaku keberkesanannya sebagaimana yang dikehendaki, yang di luar daripadanya berlaku dalam kerangka yang diragui penerimaan dan keberkesanannya.

Panduan Hidup Rohaniahnya:

Sebagaimana yang disebutkan di atas, kerangka keimanan dalam akidah Ahlissunnah adalah kemestian yang wajib dipenuhi; hidup rohaniah dan akhlak yang berlaku dalam rangka ini diterima dan berkesan operasinya. Maka dalam rangka inilah mesti berkembangnya hidup kerohanian dan akhlak umat yang beriman.

Apakah hidup kerohanian itu? Hidup kerohanian itu ialah hidup yang menyuburkan dan menjayakan manusia bermula dengan dirinya sendiri, paksi dirinya, iaitu jiwanya (al-nafs), hatinya (al-qalb), akalnya (al-’aql) dan rohnya (al-ruh). Sebagaimana yang boleh dilihat dalam kitab ’Ihya’ ’Ulum al-Din’ diri manusia yang sebenar itu ialah apa yang diungkapkan oleh istilah-istilah ini; walaupun dari segi penekanan-penekana tertentu ke empat-empat istilah ini menunjukkan kelainan erti, pada hakikatnya semuanya merujuk kepada zat manusia yang satu itu sahajlah, ’raja’ yang dimaksudkan dalam hadith sohih, bila ia sejehtera maka sejahtera diri manusia seluruhnya, kalau rosak rosaklah manusia seluruhnya; ia adalah kalbu; ia zat kerohanian, yang bukan benda, yang dinisbahkan kepada Tuhan, yang menjadi tumpuan kepada suruhan agama; ia adalah keakuan manusia yang sebenarnya.

Hakikat ini berkait dengan hakikat manusia yang ditiupkan ke dalam dirinya ’roh’ dari ciptaan Tuhan, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang bermaksud : ”Maka bila Aku membentuk tubuh badannya dan kelengkapan dirinya]nya dengan sempurna dan menghembuskan ke dalam dirinya roh yang Aku ciptakan untuknya, maka kamu hendaklah sujud kepadanya (wahai para malaikat).Peniupan roh insaniah ini memuliakannya, sehingga disuruh malaikat sujud kepadanya sebagai sujud memuliakannya bukan sujud ibadat kepadanya. Ini pula berkaitan dengan ayat yang menyebutnya sebagai diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi dan diajarkan kepadanya nama-nama segala benda. Dalam hasyiah Syeikh Zadeh terhadap tafsir Baidawi disebutkan bahawa pengajaran nama-nama oleh Tuhan inilah yang menyiapsediakan Adam-umat manusia- untuk mengambil bahagian dalam semua jenis dan cara mengetahui (all manner of knowing).Maka tersedialah dia-secara potensinya- untuk mengambil bahagian dalam cara mengetahui secara teori, amali, yang berfaedah, yang mudarat, yang kekal abadi, yang sementara, mengetahui yang akli, yang khiyali, yang rohani, jasmani, dan seterusnya. Inilah yang merupakan persiapan diri insan untuk mengambil bahagian dalam pembentukan hidup rohaniah dan akhlak yang setingginya. Dan ia mencapai perhampiran dengan Tuhannya melalui ianya mengamalkan sifat-sifat yang tinggi-tinggi dan mulia-mulia dengan mengambil pengajaran daripada erti-erti pada nama-nama Tuhannya Sendiri.

Maka dalam hidup kerohaniannya ia melakukan ibadat seperti sembahyang dengan menyempurnakan syarat-syarat, rukun-rukun, juga adab-adabnya lahirnya dan batinnya. Ia menyempurnakan rukun-rukun takbir, niat, qiyam, ruku’, sujud, dan seterusnya sampai kepada salam.Ia menyempurnakan bacaan-bacaannya; tasbih-tasbih dan tahmid-tahmidnya; Ia tadabbur tentang erti-erti bacaan-bacaannya demikian seterusnya.Ia ada tama’ninahnya dan khusyu’nya yang menjadi satu daripada syarat-syarat kejayaan hakikinya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Mukninun itu (’Berjayalah mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya…yang mengelak daripada yang sia-sia…yang bersih hidup kelaminnya, yang menunaikan amanah-amanah dan janjinya…yang menjaga sembahyangnya…mereka mewarisi Syurga Firdaus dst.

Ia melakukan puasa dan menunaikan zakatnya dengan cara yang ada dalam hukum Syara’ pada Ahlissunnah, serta ia menunaikan syarat-syarat, rukun-rukun, adab-adabnya, dengan niat yang betul dan ikhlas; dengan demikian berjayalah ia dalam hidup kerohaniannya.

Demikian pula ia melakukan zikir dan wirid-wirid serta doa-doanya; maka hiduplah ia dalam jaringan suara dan gelombang suci bacaan Qur’an, wirid, zikir dan doa seolah-olah seperti bernang ikan dalam air dan terbang burung diangkasa. Harmonislah ia dengan alam semesta yang berada dalam tasbih dan zikir dengan bahasanya sendiri memuji dan membesarkan Tuhan sebagaimana yang dinyatakan oleh Qur’an dalam ayat yang bermaksud :Apa yang ada di langit dan di bumi (semuanya) bertasbih mengagungkan Tuhan Raja Yang Maha Suci, Maha Tinggi Dalam kekuasaanNya, lagi Maha Bijaksana”.

Dalam ayat lain pula terdapat kenyataan yang bermaksud: ”Bertasbih kepadaNya apa yang ada di tujuh petala langit dan bumi; dan tidak ada sesuatu [dalam alam semesta] melainkan ia bertasbih memujiNya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.Sesungguhnya Ia Maha Penyantun lagi Maha Mengampuni.” Demikianlah seterusnya realiti tentang alam semesta dengan ibadatnya yang tersendiri masing-masingnya. Maka bila manusia sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya melakukan ibadat ia harmonis dengan alam ini; maka ini pula harmonis dengan ibadatnya yang berupa sebagai ringkasan bagi ibadat sekelian makhluk Ilahi.Tentang ibadat manusia sebagai ikhtisar ibadat sekelian makhluk ini –khususnya sembahyang- ini menjadi tajuk yang selalu diulang-ulang oleh pendakwah agung Turki itu , iaitu Cbadiuzzaman Sa’id Nursi rh.

Panduan Pembentukan Akhlaknya:

Panduan atau kerangka pembentukan akhlak dalam Ahlissunnah ialah usaha dan proses yang berlaku dalam panduan Qur’an, Sunnah, ijma’ dan pengelaman mereka yang muktabar dalam pembentukan akhlak. Antara teks panduan yang paling terkemuka dalam Ahlissunnah waljamaah ialah Ihya’ ’Ulumiddin oleh Imam al-Ghazali rd.

Dalam kitab ini yang dibahagikan bahagn-bahan perbincangannya ke dalam empat jilid besar, dibicarakan ilmu, kepentingannya, akidah dan kepentingannya, ibadat-ibadat dan kepentingannya, dengan syarat-syarat rukun dan adab-adabnya lahir batin.

Dalam pembahagian ilmu-ilmu dibahagikan ilmu kepada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah yang sangat asasi pembahagiannya itu.Dihuraikan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang bersangkut dengan cawangan-cawangan yang penting untuk pembangunan dan kejayaan hidup masyarakat, negara dan umat. Prinsip yang demikian masih perlu dipakai sampai sekarang.

Dihuraikan di dalamnya aqidah Ahlissunnah waljamaah, dan disebutkan di dalamnya aqidah yang bercanggah dengannya demi untuk menjaga umat dalam aqidah yang sahih dan benar.Pendeknya al-Ghazali rd terkenal dengan jasanya mempertahankan aqidah Ahlissunnah dalam mendepani akidah-akidah yang menyeleweng, sesat., kufur dan seterusnya beliau memberi jawapan kepada kesilapan-kesilapan falsafah zamannya.Panduannya dalam bidang ini kekal diperlukan sampai sekarang, dan kerangkanya boleh digunakan bagi mendepani pemikiran-pemikiran yang menyesatkan masakini, baik yang datang dari Barat atau dari dalam masyarakat Islam sendiri.Biografi intelektuilnya dalam ’al-Munqidh’ dengan jelas memberi bokti kepada kita tentang fahamannya yang tajam dan tepat tentang soal-soal intelektuil zamannya. Demikian juga kitabnya ’Tahafut al-Falasifah’ dan ’Maqasid al-Falasifah’ itu.

Dalam hubungan dengan ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji, membaca Qur’an dan berwirid beliau memberi penerangan yang memadai tentang itu semua dengan menyentuh soal-soal rukun dan syarat, soal adab-adab zahir dan batin dan huraian-huraian berkenaan dengan maksud-maksud ibadat itu semua.Itu semuanya menyempurnakan hidup akhlak manusia dan kerohaniannya.Panduan demikian kekal kepentingannya sampai sekarang.

Dalam menyentuh soal-soal amalan seperti sembahyang misalnya, beliau bukan sahaja menerangkan kepentingan syarat-syarat rukun yang wajib dan sunatnya, bahkan beliau menyentuh misalnya keperluan kepada: adanya hadhir hati, dan seterusnya, wacana Ghazali dalam ibadat, tentang keperluan mengerti makna bacaan-bacaan di dalamnya, merasa takut kepada Tuhan di dalamnya, merasai takzim terhadapNya, menumpukan harapan setingginya kepadaNya dan merasai malu terhadapNya.Ini melengkapkan kesempurnaan sembahyang zahir dan batin. Demikianlah dengan ibadat-ibadat lainnya.

Dalam soal membentuk akhlak manusia beliau berbicarakan pembentukannya dan perlaksanaannya dalam hidup berkeluarga, berjiran, bersahabat, bergaul dalam masyarakat, dalam berjual beli, bahkan dalam melaklukan profesi dan dalam bermusafir.Beliau sampai berbicara tentang akhlak dalam mendengar syair dan bunyi-bunyian dan musik dalam kitab al-sama’ jilid ke dua Ihya’.

Di Nusantara ini dibicarakan dengan panjang lebar dan nyata oleh Syeikh ’Abd al-Samad al-Falimbani rh dalam ’Sayr al-Salikin’nya yang terkenal itu. Dalam jilid pertama dibicarakan soal ilmu, akidah Ahlissunnah , dan ibadat-ibadat, dalam jilid kedua dibicarakan amalan-amalan di bawah tajuk adat, termasuk makan minum, berusaha, bermusafir, dan seterusnya.Dalam jilid ketiga dibicarakannya sifat-sifat yang membinasakan jiwa dan roh manusia; dalam jilid keempat dibicarakan sifat-sifat yang menyelamatkannya. Huraian ethika rohaniahnya kekal relevan sampai sekarang. Termasuk ke dalam bahagian ini ialah cara-cara mengubah diri ke arah kebaikan semakin lama semakin tinggi melalui tahap-tahap yang boleh diamalkan oleh semua orang, baik yang berada dalam tarekat sufiah atau orang yang tidak berada dalam tarekat sufiah.

Dalam membentuk akhlak beliau berbicara tentang psikologi rohaniah yang memberi gambaran tentang jiwa manusia dengan khazanah kekayaan batin sebagai potensinya, dan bagaimana khazanah kekayaan lahir dan batin diri manusia ini dijadikan modal yang paling bernilai bila akhlak terbentuk dengan baiknya. Misalnya beliau memberi gambaran tentang sifat-sifat yang jahat yang mencacatkan wajah manusia : takabur, dengki, marah, dendam, gila pangkat dan harta, serta kemasyhuran nama, tamak haloba, ria dan takbur, suka kepada pujian demikian seterusnya; diberikannya penjelasan tentang jeleknya sifat-sifat itu dan bagaimana caranya menghapuskan sifat-sifat jahat itu dengan pengetahuan, latihan amalan dan tafakur. Ini semua masih kekal keperluan manusia kepadanya dan usaha menghapuskannya.Penjelasannya menunjukkan pengamatan psikologis yang sangat halus, tepat serta tajam.Generasi sekarang masih memerlukan panduan ini, walau apa juga yang dibicarakan oleh pemikiran modernis dan pascamodernis.

Kerangka Umum Hukum Syariat Yang Merangkumi Segalanya:

Memang dalam Islam segala-galanya berjalan dalam kerangka Syariat yang tidak boleh dipertikaikan lagi.Semua perkara termasuk di bawah hukum yang lima tanpa kecuali: hukum wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Ini terang bagi semua mereka yang mempunyai pengetahuan tentang Islam.

Insan Dengan Tuhannya dan Alamnya

Dalam ajaran Ahlissunnah hubungan manusia dengan Tuhan boleh dilihat dari beberapa dimensinya: umpamanya dimensi manusia sebagai hamba Allah yang wajib taat kepada titah perentahNya, sama ada perintah yang wajib atau perintah tentang yang haram, yang harus, sunat, atau makruh.

Ia adalah khalifah Tuhan di muka bumi, dalam erti ia diamanahkan untuk mengimarahkan bumi ini dengan menjalankan kehendakNya dalam semua aspek kehidupannya, daripada membina hidup peribadi sampai kepada kehidupan kolektif , budaya dan ketamadunan. Dalam segi yang lebih lagi daripada itu, ia adalah wakil atau jurubicara sekelian makhluk dengan kedudukannya, sifat-sifatnya yang mempunyai rin gkasan bagi sifat-sifat makhluk seluruhnya; dengan itu kedudukannya adalah kedudukan seperti titik tengah bulatan alam semesta; sebab itu bila ia melakukan hidup ubudiahnya dan kerohaniannya ia mempunyai implikasi mewakili sekelian makhluk semuanya. Perlaksanaan tugas rohaniahnya adalah ’mewakili’ sekelian makhluk. Sebab itu dinyatakan dalam haditi sahih bahawa alam ini kiamat atau hancur bila tidak ada lagi yang menyatakan ’Allah, Allah, Allah’.

وَلِمُسْلِمٍ ” لَا تَقُوم السَّاعَة عَلَى أَحَد يَقُول اللَّه اللَّه ” وَهُوَ عِنْدَ أَحْمَد بِلَفْظِ ” عَلَى أَحَد يَقُول لَا إِلَه إِلَّا اللَّه

Riwayat Muslim: Tidak berdiri kiamat atas seorang yang berkata ’Allah, Allah, Allah, pada riwayat Ahmad lafaznya ’atas seorang yang berkata ’la ilaha illah’llah’

(Hadis Muslim dan hadis riwayat Ahmad dinukil dalam Fath al-Bari dalam syarahanya tentang hadith al-Bukhari no 6540 di bawah tajuk ’zuhur al-fitan’ dalam berbicara tentang fitnah akhir zaman)

Bahkan alam ini dijadikan dengan matlamat untuk melaksanakan ’taskhir’ untuknya, sebagaimana yang ternyata dalam ayat-ayat yang menyebutkan ’taskhir’ alam semesta baginya, apa yang ada di langit dan di bumi di’taskhir’ baginya; matahari, bulan dan bintang di ’taskhir’ untuknya; lautan dan sungai-sungai semuanya di ’taskhir’ untuknya. Tujuannya supaya ’taskhir’ alam untuknya ini digunakan bagi menjalankan kehendak Tuhan di alam ini, mengamalkan hukum-hukumNya, juga menyatakan kebesaran Ilahi. Sebab itu ternyata dalama ayuat yang bermaksud: ’Dialah yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga; turun Perintah antara semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segala sesuatu dalam IlmuNya’.

Dari dimensi yang lain pula ia disuruh supaya membentuk peribadinya berdasarkan kepada pengajaran yang didapati daripada erti-erti yang ada dalam nama-nama dan sifat-sifat Tuhannya.kalau Tuhan maha mengetahui, ia dikehendaki menjadi hamba yang berilmu; kalau Tuhan adalah adil maka ia dituntut untuk menjadi hamba dan khalifah yang adil; kalau Tuhan adalah kuat, ia dituntut membina yang kuat sebagai hamba dan khalifahNya dalam berhadapan dengan kejahatan damn kepalsuan dalam atau di luar dirinya. Kalau Tuhan Maha halus tadbirNya dan DiriNya, manusia disuruh membina peribadi yang halus dan tadbir urus yang halus sifatnya dengan keberkesanannya, demikian seterusnya; kalau Tuhan Maha mengasihani manuisia sebagai hamba dan khalifahNya disuruh supaya berlaku kasihan belas terhadap makhluk. Ini antaranya dihurai dalam hubungan dengan kenyataan yang terkenal ( تخلقوا باخلاق الله) yang bermaksud ’Binalah peribadimu [dengan mengambil pengajaran ] mengikut akhlak-akhlak Allah’. Bagaimanapun Tuhan adalah Tuhan, manusia adalah manusia, makhluk dan hambaNya bahkan khalifahNya di muka bumi.

Maka pada manusia alam adalah tempatnya berusaha, beriman, beramal, dan menyatakan kehambaannya dan kekahalifahannya. Alam adalah untuknya menjalankan amar makruf dan nahi munkar; alam adalah tempat ujiannya supaya akhirnya ia bertemu dengan Tuhannya sebagai nafs al-mutma’innah atau yang hampir dengan sifat itu; tetapi jangan sebagai pengkhianat atau penderhaka. Alam adalah tempatnya menempah kejayaan menggunakan alam sebagai ’ladang untuk akhirat’nya. Alam juga adalah ’tempat’ ia melihat sifat-sifat Tuhan dan perbuatan-perbuatanNya, kerana alam ini menunjukkan kepada Sifat-sifat, Nama-nama dan perbuatan Tuhan, sebagaimana rumah atau mahligai yang tersergam dan indah menunjukkan tuan yang mahir membina mahligai atau rumahnya. Dengan memerhatikan rumah atau mahligai yang indah sampai ke tahap ’zauq’ penuh penghayatan, lama-lama seolah-olah tidak terlihat lagi mahligai atau rumah, yang terlihat adalah pernyataan sifat-sifat, nama-nama, dan perbuatan tuannya dan pembuatnya yang sedemikian mahir dan penuh hikmat kebikjaksanaannya.

Kerangka fahaman ini masih relevan dan diperlukan sekarang secara dharuri –tidak boleh tidak-untuk menyelamatkan manusia daripada menjadi mangsa sifat rakusnya dan hasil-hasil perbuatan tangannya sendiri yang mencelakakan. Na’udhu billahi min dhalik.

Insan Dalam Ahlissunnah Waljamaah Mendepani Cabaran pemikiran Modern

Insan dalam Ahli Sunnah waljamaah –termasuk insan di Dunia Melayu-berhadapan dengan pemikiran modern dan pascamodern dengan penuh keyakinan tentang kerangka hidup rohaniah dan moralnya yang keabsahannya dan kelangsungannya terjamin oleh nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith sahih ( لاتزال طائفة من أمتى ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة لايضرهم من خالفهم ) yang bermaksud ’Terus menerus akan ada dalam umatku ini golongan yang tertonjol menang dalam kebenaran sampai berdirinya kiamat; mereka yang menyalahi golongan ini tidak memudaratkan mereka’. Asas kekuatan kerangka ini adalah Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang bermaksud:’Kamu tidak akan tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada dua perkara :Kitab Allah dan Sunnah rasulnya’ yang terhurai mengikut ijma’ mereka yang ahli dalam umat ini, sebagaimana yang disepakati dalam Ahlissunnah waljamaah.

Pemikiran modern dan pascamodern dengan elemen-elemennya tidak mampu memusnahkan kerangka Ahlissunnah ini yang sudah bertahan lima belas abad ini; ia akan terus menerus bertahan selama mana manusia memahaminya dan berpegang kepadanya; nampaknya inilah kerangka yang paling stabil dalam sejarah dunia sampai sekarang.Muslimin di Nusantara dan seluruh dunia mesti kembali kepada kerangka ini, yang pada wajah amnya penulis yang dhaif ini menyebutkan : ia terdiri daripada wacana agung (’grand narratives’_) yang suci yang dihuraikan oleh para imam seperti al-Asy’ari dan al-Maturidi rd dalam akidah, Imam Syafie dan lain-lain imam mujtahidi dalam hukum Syara’, al-Ghazali rd dan yang sepertinya dalam hidup akhlak, kerohanian dan falsafah [kalau dalam zaman moden abad ke 20 penulis ini memasukkan Said Nursi rh ke dalamnya], dan ibn Khaldun rh dalam bidang budaya dan peradaban [dalam zaman moden ini diikuti oleh Malik bennabi].Dengan kerangka ini-dengan tambahan-tambahan dari perkembangan mutakhir yang diperlukan dalam perkembangan budaya- Muslimin dalam Ahlisunnah boleh mendepani apa-apa falsafah dan aliran sekalipun; ia akan menang dan mencapai kebahagiaan yang hakiki dan kejayaannya.Yang diperlukan ialah kesediaan untuk memahami dengan ikhlasnya dan menerima wacana ini dan meyakininya serfta beramal dengannya. Kejayaan akan terjamin.Amin.Wallahu a’lam.

 

 


 

Untuk pembentangan di Bandung dalam Seminar Serantau Tentang Reformasi Pemikiran anjuran Bersama YADIM dan Golongan Islam Moderat Indonesia, pada 17 Oktober 2008

Penulis adalah Fellow Amat Utama Akademik, ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), IIUM, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Karyawan,

Al-Baqarah:129.

Al-Dhariyat:56.

Al-Talaq:12.

Al-Baqarah: 31.

Jld I hlm. 241

Ibid. jld 1 hlm 241)

Jld I hlm 248

Hashiah Syeikh Zadeh pada Tafsir al-Baidhawi, jilid I hlm. 247-248. Syeikh Zadeh ialah Muhammad bin Musleh al-Din Mustafa al-Qaujawi Muhyi al-Din al-Hanafi terkenal sebagai Syeikh Zadeh al-Mudarris al-Rumi (di Turki), men. 951 Hijrah.

Ibid. jld.I hlm 249

Lihat Imam al-Ghazali rd dalam ‘Ihya’ ‘Ulum al-Din’, jld III, bab a’a’ib al-qalb’ dan huraian-huraiannya.

Surah al-Syams, ayat…

Bila Tuhan hendak menjadikan Adam Ia berfirman (maksudnya) ‘Sesungguhnya Aku akan jadikan seorang khalifah di bumi’ (al-Baqarah: 30).

Al-Baqarah:1-5.

Al-Baqarah: 177.

Jilid III tentang ‘ajaib al-qalb’.

Misalnya kalau diberi penekanan kepada potensi umumya baik segi mengatahui ilmunya, perasaannya, keinginannya,juga kerohaniannya, disebut sebagai hati atau kalbu; kalau diberi penekanan kepada aspek memahami ilmunya disebut sebagai akal; bila ditekankan aspek kemesraan atau kehampiiran dengan Tuhan disebut roh, kalau ditekankan aspek keinginan dan perasaan maka disebut sebagai jiwa atau nafs; tetapi ia adalah zat yangh sama itu juga.

Al-Hijr:29.

Surah al-Baqarah, 30-31..

Kalau Tuhan Maha Mengetahui, ia mestilah menjadi hamba yang berilmu, kalau Tuhan Maha Adil, ia mesti berlaku adil, kalau Tuhan Maha Pemaaf, hendaklah ia pemaaf, demikian seterusnya mengikut erti-erti dari pengajaran tentang nama-nama dan sifat-sifatNya.

Al-Mu’minun:1-11.

Al-Jumuat:1.

Al-Isra: 44.

Misalnya dalam kitabnya ‘al-Kalimat’ terj.Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, Turki, 1992 terutama kalimah-kalimah awalnya.

Ayat-ayat ‘sakhkhara lakum’ –Ia men’taskhirkan’ atau menundukkan untuk faedah kamu – seperti : taskhir matahari, bulan, sungai, malam dan siang ,dan seterusnya dalam Surah Ibrahim: 32, 33; taskhir lautan dengan niamat-niamat isinya supaya kamu bersyukur : al-Nakhl:14; taskhir untuknya apa yang ada di bumi dan kapal –al-Hajj: 65; taskhir langit dan bumi dengan isi keduanya-Surah Luqman:20, dengan niamat zahir dan batin.Dan banyak lagi ayat-ayat taskhir itu. Lihat ‘Fath al-Rahman oleh al-Maqdisi, hlm.210.

Al-Talaq:12.

Akhlak atau moral dalam abad ke 21 pun tidak boleh terlepas dari etika dalam Ahlissunnah berdasarkan kepada Quran dan Sunnah.Misalnya ini boleh diperhatikan pada etika atau moral yang dirangka oleh John Baines dalam bukunya ‘Morals in the Twenty-First Century’ yang tidak boleh mengelak, terpaksa mengakui nilai-nilai sebagaimana yang diajarkan dalam Islam (dan dihuraikkan dalam Ahlisunnah waljamaah.)

Dalam memberi syarah terhadap al-Bukhari hadis no. 6767

 

‏ ‏لا يزال طائفة من أمتي ظاهرين حتى يأتيهم أمر الله وهم ظاهرون

dinukilnya hadith (لا تقوم الساعة إلا على شرار الناس)

 

Perbincangan tentang modernity secara falsafah yang terbaik dibicarakan oleh Rene Guenon dalam ‘The Crisis of the Modern World’ dan ‘The Reign of Quantity and the Signs of the Times’, nampaknya sampai sekarang tanpa tara; berkenaan dengan pascamodernisme, penulis ini ada membuat beberapa pengamatan dalam monograf berjudul ‘Pascamodernisme dan Islam: Satu pandangan Awal, (lihat sumber-sumbernya) Monograf 3, terbitan Akademi kajian Ketamadunan, Kompleks Dar al-Hikmah, Kajang, 2004.Beberapa pengamatan penulis tentang elemen-elemen falsafah dalam modernity dibicarakan dalam esseinya ‘Islam dan Kebudayaan’ risalah terbitan DBP, 1989.

Hello world!

November 2, 2008

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!